Thursday, August 11, 2011

Tawasul Tiga Lelaki Di Dalam Sebuah Gua

Abdullah bin Umar bin al-Khattab RA telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bercerita: Telah berjalan tiga orang daripada umat sebelum kamu (umat Bani Israel) sehingga mereka terpaksa bermalam di dalam sebuah gua. Apabila mereka masuk ke dalam gua, tiba-tiba sebiji batu besar bergolek dari atas bukit menutupi pintu gua itu. Lalu mereka terperagkap di dalamnya. Mereka berkata sesame sendiri: “Kita tidak akan dapat keluar dengan selamat dari gua ini melainkan memohon kepada Allah SWT dengan tawasul melalui amal soleh yang kita lakukan.”

Justeru, salah seorang daripada mereka berdoa: “Ya Allah! Dahulu aku mempunyai ibu bapa yang telah tua dan aku tidak pernah memberi minum kepada keluargaku, khadam serta semua hambaku sebelum aku memberi mereka minum. Suatu hari, aku telah berjalan jauh untuk mencari daun kayu. Lantaran itu, aku tidak dapat pulang menemui kedua-duanya sehingga mereka tidur. Aku lantas memerah susu untuk mereka minum malam. Malangnya, mereka berdua sudah tidur. Aku tidak suka mengejutkan mereka sebagaimana aku tidak suka memberi minum kepada keluarga dan khadamku mendahului mereka. Aku terus menunggu mereka bangun sehingga terbit fajar sedangkan mangkuk susu itu masih berada di tanganku. Anak-anak pula menangis kelaparan di kakiku. Akhirnya, mereka terjaga lalu meminum susu itu. Ya Allah! Jika benar apa yang kulakukan itu semata-mata mencari keredhaan-Mu, maka lepaskanlah kami dari dalam gua ini.”

Tiba-tiba, pintu gua tersebut terbuka sedikit. Walaupun demikian, mereka masih tidak dapat keluar.

Berdoa pula pemuda kedua: “Ya Allah! Dahulu aku memiliki seorang sepupu perempuan. Dia adalah manusia yang paling aku cintai.”

Dalam satu riwayat yang lain dinyatakan: “aku mencintainya seperti cinta seorang lelaki yang mendalam terhadap seorang wanita. Aku ingin mengadakan hubungan jenis dengannya tetapi dia enggan menurut kemahuanku. Sehinggalah berlaku kemelesetan serta kesukaran mendapatkan makanan, dia dating menemuiku. Lantas aku memberinya wang sebanyak 120 dinar dengan syarat dia hendaklah menyerahkan tubuhnya kepadaku. Dia menyetujuinya, sehingga aku berjaya menguasainya.”

Riwayat lain pula menyebut: “Tatkala aku duduk di antara kedua celah kakinya, tiba-tiba dia berkata: ‘Takutlah kamu kepada Allah dan janganlah kamu membuka cincin melainkan dengan jalan yang hak’ (jangan kamu menyetubuhiku melainkan menikahiku terlebih dahulu). Aku terus meninggalkannya sedangkan dialah manusia yang paling aku cintai. Aku juga meninggalkan wang yang telah aku berikan kepadanya. Ya Allah! Jika benar apa yang aku lakukan itu adalah semata-mata mencari keredhaan-Mu, bukakanlah pintu gua ini.”

Lalu pintu gua itu terbuka sedikit. Namun, mereka masih belum dapat meloloskan diri.

Akhir sekali, pemuda ketiga berdoa: “Ya Allah! Dahulu aku telah menggaji beberapa orang pekerja. Aku telah membayar gaji mereka kecuali kepada seorang pekerja yang telah meninggalkan gajinya lalu pergi. Maka, aku kembangkan duit gajinya itu sehingga menjadi harta yang banyak. Selepas sekia lama, dia dating kembali kepadaku lantas berkata: ‘wahai hamba Allah! Bayarlah gajiku yang terdahulu!’

Aku berkata kepadanya: ‘Ambillah segala apa yang kamu lihat daripada unta, lembu, kambing serta hamba-hamba itu. Semuanya adalah hartamu.’

Katanya lagi: ‘Wahai hamba Allah! Janganlah engkau bergurau denganku.’

Aku menjawab: ‘Aku tidak bergurau. Aku berkata benar.’

Lantas, disereti harta-harta itu tanpa meninggalkan apa-apa. Ya Allah! Jika benar apa yang aku lakukan itu kerana mencari keredhaan Engkau, lepaskanlah kami dari dalam gua ini.’

Akhirnya pintu gua itu terbuka dengan luas. Lalu mereka bertiga berjalan keluar dengan selamat.. =)

[Sahih al-Bukhari: 2111, Sahih Muslim: 4926]

---------------------------------------------------------
sumber rujukan:

penulis buku: Allahyarham Dato' Ishak Baharom.. moga2 baktinya kepada Islam akan terus bermanfaat..  insya Allah.. 

No comments:

Post a Comment